19 March 2010

Thrill Drill



LATIHAN PENGUNGSIAN WISMA PUTRA 2010

Pada hari Khamis, 18 Mac 2010 yang lepas
seluruh warga Wisma Putra di Putrajaya buat pertama kalinya
menjalani Latihan Pengungsian (evacuation drill)
semenjak perasmiannya pada September 2001.

Latihan ini telah melibatkan seluruh warga Wisma Putra
termasuk Y.B Senator Kohilan Pillay,
Timbalan Menteri Luar Negeri
dan Y.Bhg Tan Sri Rastam Mohd Isa,
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.

Tujuan utama latihan ini diadakan adalah untuk melatih
seluruh warga Wisma Putra agar memahami tindakan
yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan
sebagai contoh kebakaran, gempa bumi mahupun ancaman bom.
Bahagian Pentadbiran & Keselamatan sebagai urusetia
dengan kerjasama pihak Bomba dan Penyelamat Putrajaya (JBPM)
telah mengambil masa sekitar lima hingga enam bulan
untuk membuat persediaan bagi menjalani latihan ini.

Walaupun latihan ini pertama kali diadakan di Wisma Putra,
pihak Bomba dan Penyelamat Putrajaya (JBPM) tetap berpuas hati
dengan kelancaran proses latihan serta komitmen
yang diberikan oleh semua pihak.

Pada hari kejadian, latihan dimulakan tepat jam 3.27 petang
apabila loceng kecemasan dibunyikan.

Encik Tajul Aman Mohammad,
Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan
selaku Ketua Insiden Kecemasan telah mengetuai sesi latihan ini.

Latihan yang dijalankan ini secara keseluruhannya
mengambil masa sekitar 21 minit.

Warga bangunan WP1 mengambil masa tujuh minit
untuk mengungsi bangunan
manakala warga bangunan WP2 mengungsi dalam masa 4 minit.

Proses pengungsian seluruh warga Wisma Putra berjalan dengan lancar
tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekitar jam 3.48, Ketua Insiden Kecemasan mengumumkan selesainya
latihan pengungsian dan mengarahkan semua warga Wisma Putra
bersurai dan berkumpul di Dewan Serba Guna untuk sesi taklimat
daripada Ketua Setiausaha, Y.Bhg Tan Sri Rastam Mohd Isa
dan Timbalan Pengarah Bomba Putrajaya, Encik Johari Haji Ahmad.

Latihan ini dengan jayanya dijalankan hasil daripada kerjasama
seluruh warga Wisma Putra yang peka dan memahami tujuan
dan kepentingan latihan pengungsian.

Selain itu, kecekapan dan sikap komited
ahli-ahli Pasukan Tindakan Kecemasan(Emergency Response Team)
dalam memikul tanggungjawab juga dilihat
sebagai penggerak utama kelancaran proses latihan ini.

Kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua syarikat penyelenggaraan
iaitu HBS Engineering Sdn Bhd dan Lapisan Tuah Sdn Bhd
dalam memastikan segala persediaan sistem pencegahan kebakaran
dan kelengkapan peralatan untuk kegunaan
Pasukan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Team)
amatlah dihargai.

Secara keseluruhannya, Latihan Pengungsian Wisma Putra 2010
yang dijalankan pada 18 Mac 2010 (Khamis) berjalan lancar
dan berjaya mencapai objektifnya. Kerjasama yang diberikan
oleh seluruh warga Wisma Putra dilihat sebagai faktor penting
yang menjayakan latihan ini.

Pihak urusetia juga akan merancang Latihan Pengungsian kedua
yang mana latihan ini akan dilakukan secara mengejut
tanpa pengetahuan mana-mana pihak kecuali pihak urusetia
dan pengurusan tertinggi sahaja.

Segala kelemahan yang berlaku semasa latihan tersebut
akan diatasi dari semasa ke semasa
demi tujuan penambahbaikan untuk masa kelak.


Ketua Insiden Kecemasan, Encik Tajul Aman Mohammad
membuat pengumuman bersurai di Tempat Berkumpul Kecemasan.


Ketua Setiausaha Wisma Putra, Y,Bhg Tan Sri Rastam Mohd Isa
bersama Timbalan Pengarah Bomba Putrajaya, Encik Johari Haji Ahmad.


Warga Wisma Putra bangunan WP1 di Tempat Berkumpul Kecemasan.


Antara barisan ahli-ahli Pasukan Tindakan Kecemasan Wisma Putra.


Sesi taklimat yang disampaikan oleh KSU Wisma Putra
Y.Bhg Tan Sri Rastam Mohd Isa.


Antara jentera-jentera Bomba dan Penyelamat yang turut serta
dalam Latihan Pengungsian Wisma Putra.


No comments: