Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

01 January 2011

Ucap Selamat

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2011
KEPADA WARGA WISMA PUTRA DAN PERWAKILAN MALAYSIA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam 1Malaysia.

Saya dan Rubiah ingin mengucapkan
Selamat Menyambut Tahun Baru 2011
kepada semua warga Wisma Putra, IDFR, SEARCCT
serta keluarga masing-masing di Kementerian
dan juga Perwakilan Malaysia di seberang laut.

Marilah kita melangkah masuk ke tahun baru ini
dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu
untuk melaksanakan segala tugas yang diamanahkan
dengan penuh dedikasi, cemerlang dan berkualiti.

Saya berharap setiap warga Kementerian
akan terus memberi kerjasama dan berusaha
dengan lebih gigih serta menunjukkan komitmen,
kualiti kerja, disiplin dan integriti yang tinggi.

Amalan kerja secara berpasukan
haruslah diterapkan lagi di dalam semua aktiviti
sama ada di peringkat Kementerian
mahupun jabatan masing-masing.

Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati
dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati
dan saya percaya dengan sikap yang baik ini
kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan
yang lebih kental.

Insya-Allah saya yakin dengan berpegang
kepada nilai-nilai hidup yang murni,
kita akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang
pada tahun hadapan.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011.

Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT
dan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya.

DATO' SRI ANIFAH HJ. AMAN
31 Disember 2010

11 August 2010

Ramadan Kareem


UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT
BULAN RAMADAN AL-MUBARAK 2010
KEPADA WARGA WISMA PUTRA

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Alhamdulillah, saya dan isteri serta keluarga
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
Selamat Berpuasa kepada semua penjawat awam, warga Wisma Putra
yang beragama Islam serta keluarga masing-masing.

Dengan limpah dan kurnia-Nya
dapat kita diketemukan sekali lagi
di Bulan Ramadhan Al-Mubarak,
bulan yang mulia yang tersirat
di dalamnya kerahmatan dan keampunan.

Saya mendoakan semoga Allah SWT
menerima amal ibadah dan bakti kita
sepanjang Ramadhan dan membawa kita kembali
kepada fitrah Islam.

Wassallam.

DATO’ SRI ANIFAH HJ. AMAN
Menteri Luar Negeri

30 July 2010

Takziah


KEMBALI KE RAHMATULLAH
ALLAHYARHAM MOHD NAWAWI MOHD NOR

Dukacita dimaklumkan
bahawa Encik Mohd Nawawi Mohd Nor
daripada Jabatan Protokol, Wisma Putra
telah meninggal dunia
pada jam 1.00 pagi, hari Jumaat, 30 Julai 2010
di kediaman beliau di Putrajaya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Presint 20, Putrajaya pada 30 Julai 2010.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah dan doa
kepada Allahyarham dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

28 July 2010

Majlis APC 2009



UCAPAN YB DATO’ SRI ANIFAH HJ.AMAN, MENTERI LUAR NEGERI
SEMASA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2009
KEMENTERIAN LUAR NEGERI, 28 JULAI 2010
--------------------------------------------------------


YBhg Tan Sri Rastam Mohd. Isa
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri

Ketua-Ketua Jabatan,
Dan semua Penjawat Awam Wisma Putra yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana hanya dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapatlah kita berkumpul bersama-sama pada hari ini, untuk Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2009, bagi Kementerian Luar Negeri.




Tuan-Puan dan Puan-Puan sekalian,

2. Saya ingin mengambil kesempatan ini, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seratus tujuh (107) penjawat awam Kementerian Luar Negeri, yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2009. Mereka yang terpilih, bukan sahaja yang berkhidmat di Malaysia tetapi juga yang sedang berkhidmat di Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negeri. Anugerah ini merupakan salah satu tanda pengiktirafan Kerajaan dan Kementerian kepada tuan-tuan dan puan-puan, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu.

3. Kementerian ini sedar betapa pentingnya penjawat awam yang cemerlang diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Selain dari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahunan, Kementerian ini telah melaksanakan Anugerah Penjawat Awam Cemerlang Bulanan bermula pada bulan April 2010 yang lalu. Saya berharap dengan adanya Anugerah Penjawat Awam Cemerlang Bulanan ini, akan wujud persaingan yang sihat dan positif di antara tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk bekerja dengan lebih gigih dan tekun lagi, dalam usaha kita untuk sama-sama meningkatkan prestasi Kementerian Luar Negeri.

4. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan agenda transformasi negara yang berlandaskan kepada empat (4) tonggak utama, iaitu :
i) Gagasan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”;
ii) Program Transformasi Kerajaan (Government Transformation Programme);
iii) Model Baru Ekonomi; dan
iv) Rancangan Malaysia Ke-10.

5. Disamping itu, YAB Perdana Menteri juga telah menggariskan empat (4) nilai asas pelengkap, untuk melaksanakan empat (4) tonggak utama berkenaan, iaitu:
i) Membudayakan kreativiti dan inovasi;
ii) Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan;
iii) Nilai untuk wang; dan
iv) Nilai integriti.

Lapan (8) tonggak yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan panduan kepada semua penjawat awam, menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.

6. Bagi memastikan agenda transformasi negara dilaksanakan dengan jayanya, adalah menjadi tanggungjawab semua penjawat awam termasuk di Kementerian Luar Negeri, untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan. Dalam mencapai matlamat sistem penyampaian Kerajaan yang cekap, telus dan berkesan, kita perlu mengamalkan tahap disiplin yang tinggi, mempunyai kredibiliti, berinovasi dan mempunyai kemantapan nilai dan etika.

7. Sebagai penjawat awam, tuan-tuan dan puan-puan adalah dan hendaklah, memainkan peranan yang penting dalam memastikan rakyat dapat menikmati sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan. Dunia kini menghadapi cabaran globalisasi yang tiada sempadan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Begitu juga ekspektasi rakyat, yang sentiasa berubah, di mana mereka mengharapkan yang terbaik. Bagi kita di Kementerian Luar Negeri, cabaran ini adalah lebih besar kerana kita berhadapan dengan ekspektasi bukan sahaja di dalam negara malah juga di luar negara. Prestasi warga Kementerian Luar Negeri, tidak boleh diukur hanya mengikut standard dan amalan perkhidmatan awam yang biasa. Malah prestasi tersebut perlu diukur mengikut yang terbaik di dunia, oleh kerana sebahagian besar tugas dan kerja penjawat awam di Kementerian Luar Negeri adalah tertumpu kepada urusan dengan dunia luar.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan
yang saya hormati sekalian,

8. Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan, kepada intipati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10, pada 10 Jun 2010 yang lalu, di mana beliau memaklumkan bahawa terdapat sepuluh (10) premis utama bagi menjayakan rancangan ini. Di antaranya ialah; memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul; dan menjayakan pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti dan inovasi.

9. Dalam menyokong usaha Kerajaan ke arah merealisasikan hasrat, agar Malaysia terus mempunyai daya penarik dalam ekonomi global, adalah penting bagi Malaysia untuk memiliki perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, proaktif, kreatif dan inovatif. Bagi menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri akan memastikan potensi dan bakat setiap penjawat awam Kementerian ini, diperkembangkan dan digembeling secara optimum, melalui pembangunan kerjaya dan program latihan, yang selari dengan visi dan misi negara ke arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

11. Saya berpuas hati dengan program pembangunan kerjaya dan latihan yang telah dan sedang dijalankan. Namun begitu, banyak perubahan dan pembaikan yang boleh dilakukan, bagi menentukan tahap kemahiran yang tinggi di kalangan pegawai dan penjawat awam Kementerian Luar Negeri, samada mereka berada di Malaysia ataupun di luar negara. Latihan adalah penting, sikap juga penting. Sekiranya kita mempunyai sikap tidak mengendahkan keperluan sentiasa memperbaiki diri, segala apapun latihan yang dikelolakan tidak akan berjaya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

12. Oleh itu, saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa, sikap yang positif dalam mengutamakan kerja dan memiliki integriti yang tinggi, semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab, hendaklah dipupuk dan diamalkan setiap masa. Sikap seperti ini sudah pastinya akan membawa kepada budaya kerja yang cemerlang. Perlu saya ingatkan bahawa perkhidmatan yang cemerlang tidak akan diiktiraf hanya dengan anugerah yang diterima seperti pada hari ini. Pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang; dengan mempunyai sikap yang positif; mempunyai kemahiran dalam hal-ehwal diplomasi, pentadbiran, undang-undang, bahasa dan teknologi, dan boleh menjalankan tugas dengan cekap serta memperlihatkan kapasiti intelektual yang tinggi, akan diberi peluang memegang jawatan yang tinggi mengikut merit. Kekananan dalam gred atau jawatan sahaja tidak akan memberi jaminan seseorang itu akan dilantik ke sesuatu jawatan, termasuk sebagai Ketua Perwakilan.

13. Saya juga ingin menegaskan, betapa pentingnya kita mempunyai kecergasan fizikal. Badan yang sihat akan membawa kepada minda yang cergas. Oleh itu, saya juga berharap agar warga Kementerian Luar Negeri memberi kepentingan kepada aspek-aspek kesihatan, sukan dan riadah. Selain dari aspek kesihatan, aspek kekeluargaan juga adalah penting. Kita seharusnya bijak memastikan terdapat keseimbangan antara kerjaya, kesihatan dan keluarga.

14. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2009. Terima kasih di atas sumbangan yang telah anda semua berikan kepada Kementerian ini khasnya dan pada negara amnya. Semoga kejayaan tuan-tuan dan puan-puan ini dapat menjadi pemangkin kepada diri sendiri dan inspirasi kepada penjawat awam yang lain, untuk terus mencapai prestasi cemerlang dan yang lebih tinggi.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.









13 July 2010

Takziah


KEMBALI KE RAHMATULLAH
ALLAHYARHAM ENCIK RAHMAT MD SALLEH
SETIAUSAHA KEDUA DI PERWAKILAN MALAYSIA
NEW DELHI, INDIA


Dukacita dimaklumkan bahawa Encik Rahmat Md Salleh
Setiausaha Kedua di Perwakilan Malaysia New Delhi
telah meninggal dunia pada tengahari Selasa, 13 Julai 2010
di New Delhi, India akibat sakit buah pinggang.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Presint 20, Putrajaya pada 14 Julai 2010.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah
kepada Allahyarham dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

06 May 2010

Tahniah



KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
hari ini berkenan menyerahkan watikah pelantikan
kepada empat duta dan seorang pesuruhjaya tinggi.

Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58,
yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera
menerima watikah sebagai duta Malaysia ke Perancis
dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan di Istana Negara.

Turut menerima watikah pelantikan
ialah Datuk Zakaria Sulong
sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Britain,
Datuk Ho May Yong sebagai duta ke Switzerland,
Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob
sebagai duta ke Austria
dan Mat Dris Yaakob, 50, sebagai duta ke Syria.

Ini kali kedua Zakaria, 57,
bertugas di London dalam karier diplomatik selama 35 tahun.

Beliau menyandang jawatan penasihat kedutaan
pada tahun 1993 sebelum berkhidmat
sebagai duta ke Bosnia-Herzegovina pada tahun 2000
dan duta ke Jerman pada 2007 sehingga sebelum pelantikan ke London.

Ho, 52, berkhidmat dengan Wisma Putra sejak 1984
dan pernah bertugas sebagai Konsul Besar Malaysia di Perth, Australia
dan pegawai tugas-tugas khas kepada Perdana Menteri.

Muhammad Shahrul Ikram, 48, sebelum ini duta ke Qatar
dan pada Februari tahun ini, beliau dipilih
sebagai pengerusi lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
yang beribu pejabat di Vienna untuk penggal 2009/2010.

Mat Dris, 50, sebelum ini pernah bertugas
sebagai Konsul Besar Malaysia di Vancouver, Kanada
dan penasihat kedutaan di Oman.

- BERNAMA

29 March 2010

Takziah



KEMBALI KE RAHMATULLAH
BEKAS PENJAWAT AWAM, KEMENTERIAN LUAR NEGERI
ALLAHYARHAM OSMAN BIN HASSAIM

Dukacita dimaklumkan bahawa
bekas penjawat awam Kementerian Luar Negeri
Allahyarham Osman bin Hassaim, Pembantu Am Pejabat
telah meninggal dunia jam 12.40 pagi, pada Ahad, 28 Mac 2010
di rumah Allahyarham, di Kampung Medan, Selangor

Seluruh Warga Wisma Putra merakamkan ucapan takziah
dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman

Al Fatihah

23 March 2010

Tahniah




KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama)
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
berkenan menyerahkan watikah pelantikan
kepada tiga ketua perwakilan Malaysia ke luar negara
di Istana Negara di sini.

Mereka ialah duta ke China Datuk Iskandar Sarudin,
duta ke Cambodia Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin
dan duta ke Jerman Datuk Ibrahim Abdullah.

Turut hadir pada majlis itu,
Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong
dan Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Iskandar, 55, dari Negeri Sembilan,
memulakan karier diplomatik pada 1979
dan pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke Sri Lanka
dan Duta Malaysia ke Filipina.

Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha III
yang dilantik pada awal 2006.

Pengiran Mohd Hussein, 63,
yang berasal dari Kampung Tarap, Bongawan, Sabah,
ialah seorang ahli perniagaan yang pernah berkhidmat
dengan kerajaan negeri sebagai pegawai pentadbir
di Jabatan Ketua Menteri dan juga setiausaha korporat
bagi Sabah Economic Development Corporation.

Beliau mempunyai Master of Arts
dari University of Canterbury, New Zealand.

Ibrahim, 52, yang berasal dari Melaka,
pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria
dan sebelum perlantikan terbaru ini,
beliau merupakan Duta Malaysia ke Syria.

17 March 2010

Takziah



KEMBALI KE RAHMATULLAH
ALLAHYARHAM ZAINAL ABIDIN BIN MOHAMED
PEMBANTU AM PEJABAT, UNIT PERPUSTAKAAN WISMA PUTRA

Dukacita dimaklumkan bahawa
Allahyarham Zainal Abidin Bin Mohamed
Pembantu Am Pejabat, Unit Perpustakaan
telah meninggal dunia di Hospital Selayang
pada jam 5.50 pagi, Selasa 16 Mac 2010
kerana mengalami sesak nafas

Seluruh Warga Wisma Putra merakamkan ucapan takziah
dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman

Al Fatihah