30 July 2010

Takziah


KEMBALI KE RAHMATULLAH
ALLAHYARHAM MOHD NAWAWI MOHD NOR

Dukacita dimaklumkan
bahawa Encik Mohd Nawawi Mohd Nor
daripada Jabatan Protokol, Wisma Putra
telah meninggal dunia
pada jam 1.00 pagi, hari Jumaat, 30 Julai 2010
di kediaman beliau di Putrajaya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Presint 20, Putrajaya pada 30 Julai 2010.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah dan doa
kepada Allahyarham dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

28 July 2010

Majlis APC 2009



UCAPAN YB DATO’ SRI ANIFAH HJ.AMAN, MENTERI LUAR NEGERI
SEMASA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2009
KEMENTERIAN LUAR NEGERI, 28 JULAI 2010
--------------------------------------------------------


YBhg Tan Sri Rastam Mohd. Isa
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri

Ketua-Ketua Jabatan,
Dan semua Penjawat Awam Wisma Putra yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana hanya dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapatlah kita berkumpul bersama-sama pada hari ini, untuk Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2009, bagi Kementerian Luar Negeri.




Tuan-Puan dan Puan-Puan sekalian,

2. Saya ingin mengambil kesempatan ini, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seratus tujuh (107) penjawat awam Kementerian Luar Negeri, yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2009. Mereka yang terpilih, bukan sahaja yang berkhidmat di Malaysia tetapi juga yang sedang berkhidmat di Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negeri. Anugerah ini merupakan salah satu tanda pengiktirafan Kerajaan dan Kementerian kepada tuan-tuan dan puan-puan, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu.

3. Kementerian ini sedar betapa pentingnya penjawat awam yang cemerlang diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Selain dari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahunan, Kementerian ini telah melaksanakan Anugerah Penjawat Awam Cemerlang Bulanan bermula pada bulan April 2010 yang lalu. Saya berharap dengan adanya Anugerah Penjawat Awam Cemerlang Bulanan ini, akan wujud persaingan yang sihat dan positif di antara tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk bekerja dengan lebih gigih dan tekun lagi, dalam usaha kita untuk sama-sama meningkatkan prestasi Kementerian Luar Negeri.

4. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan agenda transformasi negara yang berlandaskan kepada empat (4) tonggak utama, iaitu :
i) Gagasan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”;
ii) Program Transformasi Kerajaan (Government Transformation Programme);
iii) Model Baru Ekonomi; dan
iv) Rancangan Malaysia Ke-10.

5. Disamping itu, YAB Perdana Menteri juga telah menggariskan empat (4) nilai asas pelengkap, untuk melaksanakan empat (4) tonggak utama berkenaan, iaitu:
i) Membudayakan kreativiti dan inovasi;
ii) Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan;
iii) Nilai untuk wang; dan
iv) Nilai integriti.

Lapan (8) tonggak yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan panduan kepada semua penjawat awam, menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.

6. Bagi memastikan agenda transformasi negara dilaksanakan dengan jayanya, adalah menjadi tanggungjawab semua penjawat awam termasuk di Kementerian Luar Negeri, untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan. Dalam mencapai matlamat sistem penyampaian Kerajaan yang cekap, telus dan berkesan, kita perlu mengamalkan tahap disiplin yang tinggi, mempunyai kredibiliti, berinovasi dan mempunyai kemantapan nilai dan etika.

7. Sebagai penjawat awam, tuan-tuan dan puan-puan adalah dan hendaklah, memainkan peranan yang penting dalam memastikan rakyat dapat menikmati sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan. Dunia kini menghadapi cabaran globalisasi yang tiada sempadan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Begitu juga ekspektasi rakyat, yang sentiasa berubah, di mana mereka mengharapkan yang terbaik. Bagi kita di Kementerian Luar Negeri, cabaran ini adalah lebih besar kerana kita berhadapan dengan ekspektasi bukan sahaja di dalam negara malah juga di luar negara. Prestasi warga Kementerian Luar Negeri, tidak boleh diukur hanya mengikut standard dan amalan perkhidmatan awam yang biasa. Malah prestasi tersebut perlu diukur mengikut yang terbaik di dunia, oleh kerana sebahagian besar tugas dan kerja penjawat awam di Kementerian Luar Negeri adalah tertumpu kepada urusan dengan dunia luar.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan
yang saya hormati sekalian,

8. Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan, kepada intipati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10, pada 10 Jun 2010 yang lalu, di mana beliau memaklumkan bahawa terdapat sepuluh (10) premis utama bagi menjayakan rancangan ini. Di antaranya ialah; memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul; dan menjayakan pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti dan inovasi.

9. Dalam menyokong usaha Kerajaan ke arah merealisasikan hasrat, agar Malaysia terus mempunyai daya penarik dalam ekonomi global, adalah penting bagi Malaysia untuk memiliki perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, proaktif, kreatif dan inovatif. Bagi menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri akan memastikan potensi dan bakat setiap penjawat awam Kementerian ini, diperkembangkan dan digembeling secara optimum, melalui pembangunan kerjaya dan program latihan, yang selari dengan visi dan misi negara ke arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

11. Saya berpuas hati dengan program pembangunan kerjaya dan latihan yang telah dan sedang dijalankan. Namun begitu, banyak perubahan dan pembaikan yang boleh dilakukan, bagi menentukan tahap kemahiran yang tinggi di kalangan pegawai dan penjawat awam Kementerian Luar Negeri, samada mereka berada di Malaysia ataupun di luar negara. Latihan adalah penting, sikap juga penting. Sekiranya kita mempunyai sikap tidak mengendahkan keperluan sentiasa memperbaiki diri, segala apapun latihan yang dikelolakan tidak akan berjaya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

12. Oleh itu, saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa, sikap yang positif dalam mengutamakan kerja dan memiliki integriti yang tinggi, semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab, hendaklah dipupuk dan diamalkan setiap masa. Sikap seperti ini sudah pastinya akan membawa kepada budaya kerja yang cemerlang. Perlu saya ingatkan bahawa perkhidmatan yang cemerlang tidak akan diiktiraf hanya dengan anugerah yang diterima seperti pada hari ini. Pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang; dengan mempunyai sikap yang positif; mempunyai kemahiran dalam hal-ehwal diplomasi, pentadbiran, undang-undang, bahasa dan teknologi, dan boleh menjalankan tugas dengan cekap serta memperlihatkan kapasiti intelektual yang tinggi, akan diberi peluang memegang jawatan yang tinggi mengikut merit. Kekananan dalam gred atau jawatan sahaja tidak akan memberi jaminan seseorang itu akan dilantik ke sesuatu jawatan, termasuk sebagai Ketua Perwakilan.

13. Saya juga ingin menegaskan, betapa pentingnya kita mempunyai kecergasan fizikal. Badan yang sihat akan membawa kepada minda yang cergas. Oleh itu, saya juga berharap agar warga Kementerian Luar Negeri memberi kepentingan kepada aspek-aspek kesihatan, sukan dan riadah. Selain dari aspek kesihatan, aspek kekeluargaan juga adalah penting. Kita seharusnya bijak memastikan terdapat keseimbangan antara kerjaya, kesihatan dan keluarga.

14. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2009. Terima kasih di atas sumbangan yang telah anda semua berikan kepada Kementerian ini khasnya dan pada negara amnya. Semoga kejayaan tuan-tuan dan puan-puan ini dapat menjadi pemangkin kepada diri sendiri dan inspirasi kepada penjawat awam yang lain, untuk terus mencapai prestasi cemerlang dan yang lebih tinggi.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.









26 July 2010

Lawatan


Program Lawatan oleh Biro Agama
Kelab Sukan dan Kebajikan Wisma Putra
ke Perkampungan Orang Asli
di Cameron Highlands, Pahang
25 Julai 2010













25 July 2010

Program Latihan EPSA



PEMBELAJARAN SECARA ATAS TALIAN
MELALUI SISTEM E-PEMBELAJARAN SEKTOR AWAM


Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur
telah membangunkan Sistem E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA)
bertujuan untuk mempertingkatkan lagi pencapaian dan kehadiran
ke program latihan khas hanya bagi penjawat awam,
melalui pembelajaran atas talian (online).

Dengan kewujudan EPSA ini, program latihan yang berkaitan
boleh diikuti pada bila-bila masa dan di mana jua.

Pada masa ini, terdapat 75 program latihan yang boleh dipohon
di bawah EPSA, secara percuma.



Antaranya, termasuklah kursus-kursus dalam kategori;
Kepimpinan dan Pengurusan, Kewangan dan Akaun, Pengurusan Projek,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Penyelidikan, Dasar Awam,
Pengurusan Sumber Manusia dan Bahasa.

Pihak INTAN juga akan mengeluarkan Sijil Tamat Kursus
kepada penjawat awam yang telah selesai mengikuti
mana-mana program latihan di bawah EPSA.

Semua penjawat awam Kementerian Luar Negeri
adalah dijemput dan digalakkan untuk memohon
dan seterusnya mengikuti program latihan
yang ditawarkan di bawah EPSA.

Butiran lanjut mengenai EPSA bolehlah didapati
dengan melayari; www.epsa.intan.my/wps/portal

13 July 2010

Takziah


KEMBALI KE RAHMATULLAH
ALLAHYARHAM ENCIK RAHMAT MD SALLEH
SETIAUSAHA KEDUA DI PERWAKILAN MALAYSIA
NEW DELHI, INDIA


Dukacita dimaklumkan bahawa Encik Rahmat Md Salleh
Setiausaha Kedua di Perwakilan Malaysia New Delhi
telah meninggal dunia pada tengahari Selasa, 13 Julai 2010
di New Delhi, India akibat sakit buah pinggang.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Presint 20, Putrajaya pada 14 Julai 2010.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah
kepada Allahyarham dan semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya
dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.