22 May 2010

Aktiviti Sukan



KARNIVAL FUTSAL RAKYAT MALAYSIA DI LIBYA




Kedutaan Besar Malaysia di Tripoli, Libya
dengan jayanya telah menganjurkan
Karnival Futsal Rakyat Malaysia
pada 21 Mei 2010.

Karnival ini merupakan kesinambungan
kepada kejayaan karnival edisi pertama
yang diadakan pada bulan Oktober 2009.

Kira-kira 100 orang rakyat Malaysia di Libya
telah hadir bagi menjayakan karnival berkenaan.

Selain daripada pertandingan futsal
karnival turut dimeriahkan dengan pembukaan
beberapa gerai makanan dan minuman Malaysia
dan cabutan bertuah kepada pengunjung.

Juara bertahan daripada syarikat Amona Ranhill
terus mengungguli pertandingan
apabila sekali lagi muncul sebagai johan.

Manakala, pasukan Malawakil Tripoli
telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan
apabila muncul sebagai naib johan.

Majlis perasmian karnival dan penyampaian hadiah
telah disempurnakan oleh TYT Mohd Zulkephli Mohd Noor
Duta Besar Malaysia ke Libya.

Karnival telah berlangsung
dengan penuh muhibah dan berjaya memupuk kemesraan
sesama rakyat Malaysia di Libya.

06 May 2010

Tahniah



KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
hari ini berkenan menyerahkan watikah pelantikan
kepada empat duta dan seorang pesuruhjaya tinggi.

Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58,
yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera
menerima watikah sebagai duta Malaysia ke Perancis
dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan di Istana Negara.

Turut menerima watikah pelantikan
ialah Datuk Zakaria Sulong
sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Britain,
Datuk Ho May Yong sebagai duta ke Switzerland,
Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob
sebagai duta ke Austria
dan Mat Dris Yaakob, 50, sebagai duta ke Syria.

Ini kali kedua Zakaria, 57,
bertugas di London dalam karier diplomatik selama 35 tahun.

Beliau menyandang jawatan penasihat kedutaan
pada tahun 1993 sebelum berkhidmat
sebagai duta ke Bosnia-Herzegovina pada tahun 2000
dan duta ke Jerman pada 2007 sehingga sebelum pelantikan ke London.

Ho, 52, berkhidmat dengan Wisma Putra sejak 1984
dan pernah bertugas sebagai Konsul Besar Malaysia di Perth, Australia
dan pegawai tugas-tugas khas kepada Perdana Menteri.

Muhammad Shahrul Ikram, 48, sebelum ini duta ke Qatar
dan pada Februari tahun ini, beliau dipilih
sebagai pengerusi lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
yang beribu pejabat di Vienna untuk penggal 2009/2010.

Mat Dris, 50, sebelum ini pernah bertugas
sebagai Konsul Besar Malaysia di Vancouver, Kanada
dan penasihat kedutaan di Oman.

- BERNAMA